Keutamaan akan diberikan kepada pembinaan rumah mampu milik setinggi 45 tingkat yang mana sebanyak 100 unit akan diberikan secara percuma kepada penduduk rumah panjang sebaik sahaja ia siap dibina.

“Projek pembangunan Taman Rimba Kiara yang melibatkan 3.52 hektar (lapan ekar) tanah itu akan terbahagi kepada dua fasa dan tiga bahagian untuk dibangunkan,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat projek Taman Rimba Kiara di sini, hari ini. Sepanjang projek pembangunan itu dijalankan, tiada rumah transit akan diberikan kepada penduduk-penduduk rumah panjang kerana mereka tidak akan dipindahkan sehingga rumah baharu mereka siap dibina.

“Selain 100 unit rumah yang bernilai RM300 ribu diberi secara percuma kepada penduduk generasi pertama, rumah mampu milik itu juga akan ditawarkan 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran kepada penduduk generasi kedua dan seterusnya.

Zaizalnizam berkata, RM155 juta telah dibelanjakan untuk projek itu termasuk premium kepada pihak pemaju dan kos kepada Pejabat Tanah dan Galian untuk kelulusan ‘Development Order’ (DO).

“Pada asalnya DO diluluskan 5.28 hektar (12 ekar) untuk projek itu namun atas permintaan penduduk TTDI kami telah mengecilkannya sehingga hanya 3.52 hektar (lapan ekar) sahaja untuk dibangunkan.

“Jadi empat ekar lagi telah dikembalikan kepada penduduk untuk kekal sebagai kawasan hijau seperti mana permintaan daripada penduduk dan DO yang memaparkan pelan terbaharu yang telah dikecilkan itu masih belum diluluskan kerana belum lagi diputuskan oleh kabinet,” katanya.

Sepanjang projek pembangunan dijalankan, pihaknya menjamin kawasan hijau tidak akan terjejas malah akan terpelihara.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Keputusan itu mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.Antara pembangunan yang akan diteruskan, empat blok kondominium berbanding lapan blok sebelum ini serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.-BERNAMA