Lebih mengecewakan lagi, longkang tersebut berada betul-betul di hadapan rumah penduduk di kawasan berkenaan dan air buangan kilang tersebut disalurkan terus ke sungai me-lalui longkang.

Salah seorang penduduk, Abd. Malek Omar, 48, berkata, masalah tersebut berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu namun gagal diselesaikan hingga ke hari ini.

Menurutnya, berpuluh-puluh aduan juga telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri serta wakil rakyat kawasan namun tetap tidak menemui jalan penyelesaian.

“Kami terpaksa menahan bau busuk daripada longkang kilang ini setiap hari dan hidup dalam keadaan tidak selesa.

“Malah, ada penduduk yang mengalami masalah kesihatan seperti sakit kepala, muntah-muntah dan dimasukkan ke hospital berpunca dari bau bahan kimia itu.

“Diharapkan agar pihak ber-kenaan dapat menyelesaikan masalah ini demi keselesaan kami sebagai penduduk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di rumahnya, di sini.

Tambah Abd. Malek, dia juga mahu longkang sepanjang kira-kira 100 meter itu ditutup kerana boleh mengundang bahaya kepada penduduk walaupun ada sebahagiannya telah dihalang dengan besi.

“Jika seluruh longkang ini mempunyai penutup, saya rasa masalah bau itu juga akan berkurangan dan memberi kami keselesaan untuk bernafas dan membuat kerja rumah,” ujarnya yang telah tinggal di kampung itu sejak kecil.

Sementara itu, Pengarah JAS Melaka, Rosli Othman menjelaskan, pihaknya mengambil maklum mengenai masalah itu dan akan memanjangkannya kepada Unit Aduan jabatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya akan me-lakukan siasatan berkaitan sistem rawatan kilang sama ada ia mematuhi syarat atau tidak selain melihat rekod dan standard pelepasan sisa oleh kilang.

“Sampel rasmi air itu akan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk memastikan sama ada ia mematuhi standard atau sebaliknya dan jika didapati bersalah, pihak kilang terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” jelasnya.