Demikian ditegaskan salah seorang pemilik premis di Lot 28164, Jalan Genting Kelang di sini, Kamal Mohd. Noor, 47, bagi mempertahankan pendiriannya daripada kerja-kerja perobohan di tapak perniagaan mereka dilakukan.

Kamal mendakwa, kawasan tersebut pada asalnya adalah hutan dan lombong yang diterokai bersama rakan-rakan lain secara persendirian serta menggunakan wang peribadi untuk kerja-kerja menambak tanah seterusnya mendirikan premis berkenaan.

Katanya, kebenaran untuk menduduki serta menjalankan perniagaan di kawasan itu juga disokong oleh wakil rakyat dan kerajaan terdahulu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak harus bersikap terburu-buru melakukan kerja-kerja perobohan.

“Pelbagai aspek terutama me­libatkan hak dan kebajikan serta perniagaan orang Melayu di sini perlu diambil kira,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak berkenaan, di sini.

Menurut Kamal, keengganan pihaknya untuk berpindah dari kawasan itu kerana sudah me­nganggap ia sebagai tapak wa-risan dan turut menjadi lokasi penting dalam menyatupadukan masyarakat Melayu.

“Selain itu, ini menjadi lokasi strategik untuk kami menjalankan perniagaan selain mengatur pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri, mesyuarat dan latihan sukan Muay Thai termasuk program kebajikan.

“Sekiranya dirobohkan, ada­kah DBKL atau mana-mana pihak sanggup membayar ganti rugi yang dianggarkan berjumlah RM300,000,” katanya.

Mengulas mengenai kelulusan mengusahakan kawasan itu daripada pihak berkuasa tempatan, Kamal berkata, pihaknya telah memohon kepada DBKL sejak 2004 hingga 2014 supaya dibenarkan menjalankan perniagaan di situ namun ditolak atas alasan yang tidak diketahui.

“Kami juga telah menerima banyak notis daripada DBKL berhubung arahan untuk berpindah. Ditegaskan kami sesekali tidak akan berganjak dari tempat ini sehingga ada rundingan dan persetujuan dicapai terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 100 orang terdiri daripada penyokong dan pemilik premis perniagaan itu berkumpul di kawasan tersebut bagi menghalang usaha DBKL merobohkan premis di atas tapak seluas kira-kira 0.1 hektar.Bagaimanapun operasi yang dijadual pada pagi Selasa lalu ditangguhkan.

Selain bengkel, kawasan pre­mis berdekatan Taman Tasik Danau Kota itu turut menempatkan pusat jualan kereta terpakai serta pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan dan Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia.