Justeru, penduduk menggesa pihak berkuasa campur tangan untuk melindungi aliran su­ngai yang menjadi satu-satunya sumber air penduduk ekoran ketiadaan saliran air paip daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Utusan Malaysia difahamkan, projek pembinaan melibatkan jajaran pembalakan (pembinaan infrastruktur) sejauh 19.6 kilometer sejak Jun tahun lalu itu menyebabkan air sungai menjadi kuruh, berlumpur dan dipenuhi sisa pembalakan.

Selain penerokaan kawasan hutan lipur, penduduk mendakwa projek berkenaan turut melibatkan pengambilan tanah milik persendirian penduduk yang tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Mereka termasuk pengusaha calet yang mendakwa tanah mereka diceroboh untuk pembinaan laluan membawa keluar balak sehingga merosakkan alam semula jadi.

Penduduk, Sumardi Ermin berkata, pencemaran sungai dan air bukit di kawasan itu menyebabkan penduduk terpaksa mencari sumber air di kawasan yang jaraknya melebihi satu kilometer selain menggali perigi.

“Penduduk di sini sudah lama bergantung kepada air sungai dan air bukit tetapi aktiviti pembalakan menyebabkan sumber air keruh dan tercemar.

“Saya harap masalah ini diselesaikan segera kerana ia bukan sahaja membebankan penduduk bahkan menjejaskan aktiviti pelancongan di sini,” katanya.

Sumardi berkata, aktiviti pembalakan yang tidak terka­wal itu dikhuatiri akan terus menenggelamkan tarikan Hutan Lipur Hulu Perdik sebagai destinasi pelancongan.

Seorang lagi penduduk, Mo­haffri Mohamed berkata, penduduk kampung tidak menolak pembangunan namun pe­­lak­sana­annya perlu betul dan tidak menjejaskan ekosistem.

“Kami terkilan kerana projek ini dilaksanakan tanpa perbincangan bersama penduduk ter­lebih dahulu. Masalah ini ha­nya diketahui selepas aktiviti penebangan balak mula rancak dijalankan di kawasan hutan lipur,” katanya.