Ini terutamanya kepada pe­niaga yang mengabaikan aspek keselamatan pelanggan mereka.

Oang ramai yang ditemui rata-rata mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih tegas terhadap peniaga ingkar termasuk menarik balik lesen perniagaan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor pada sebelah malam baru-baru ini mendapati masih banyak kedai makan yang meletakkan kerusi dan meja di luar premis mereka termasuk di laluan awam.

Kemalangan melibatkan seorang wanita berusia 57 tahun maut serta empat lagi cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda di tempat terbuka di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan, Se-langor baru-baru seolah-olah tidak memberi sebarang pengajaran kepada peniaga mahupun pelanggan.

Pelanggan dilihat silih berganti memenuhi kerusi meja yang dile­takkan di depan kaki lima sebuah restoran di Petaling Jaya sambil menjamu selera.

Berdasarkan pemerhatian tiga daripada lima buah restoran didapati gagal mematuhi garis panduan dan syarat-syarat permohonan ditetapkan pihak PBT.

Kedudukan kerusi meja yang diletakkan juga dilihat memakan jalan awam sehingga menghalang lalu lintas.

Sepanjang tinjauan lebih tiga jam bermula pukul 9 malam hingga 12 tengah malam itu tidak seorangpun kelibat pe­nguat kuasa kelihatan.

Budaya makan masyarakat di tempat terbuka terutama pada sebelah malam juga dilihat antara punca segelintir peniaga tidak bertanggungjawab menutup mata soal keselamatan pe­langgan.

Keadaan ini diburukkan dengan kegagalan pihak PBT untuk memantau peniaga agar mematuhi garis panduan dan syarat-syarat ditetap sepanjang perniagaan dijalankan.