Menurut Pengarah Komunikasi Awamnya, Dr. Wong Ang Peng, Patriot telah lebih awal mengeluarkan kenya­taan mengecam kata-kata Yew Yin, sekali gus tidak timbul isu kononnya persatuan itu hanya berdiam diri apabila anggota tentera diperlekeh.

Justeru, katanya, Patriot kesal dengan laporan bertajuk Patriot membisu kera­na sudah termakan budi? dalam Utusan Online pada 15 Ogos lalu yang memetik kenya­taan Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun, yang membuatkan Patriot dikecam warga maya.

Tambahnya lagi, Presiden Patriot, Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji turut dikecam dengan teruk dan diancam ‘tembak’ oleh warga maya ekoran laporan berkenaan.

Ang Peng berkata, pihak­nya tidak berhasrat menge­luarkan kenyataan lanjut dan tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.

‘‘Patriot tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang kerana peranan kita hanya mempertahankan pasukan tentera yang bertugas melindungi negara.

“Kami sudah mendapatkan nasihat daripada pasukan undang-undang kami dan hanya menuntut permohonan maaf secara terbuka. Kami tidak mahu memanjangkan isu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Yew Yin dilaporkan menuduh ko­nonnya anggota ATM hanya makan dan tidur sahaja dan beliau kemudiannya memohon maaf terutama kepada anggota tentera yang ter­singgung dengan kenyataannya itu.

Mohamed Arshad ketika menegur kenyataan Yew Yin itu membidas cadangan agar tenaga ATM dialihkan untuk membantu kerja perladangan dan projek masyarakat.

“Mereka (askar) adalah pembunuh profesional dan berkemahiran tinggi dalam peranan masing-masing. Mereka melakukan kerja yang tidak dilakukan oleh orang awam. Mereka dilatih untuk melalui dan menanggung kepayahan.

“Mereka semua memahami ketika diterima memasuki tentera, mereka perlu bersedia untuk mati,’’ kata Mohamed Arshad dalam kenyataan bagi mempertahankan anggota tentera.