Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, projek pembangunan pasar ber­kenaan yang kini memasuki fasa kedua dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua atau tiga tahun.

Johari berkata, penyambungan tempoh pembangunan projek itu tidak dapat dielakkan ekoran kegagalan kontraktor terdahulu yang tidak melaksanakan kerja dengan baik dan menepati jadual pembinaan.

Beliau berkata, projek yang tertangguh itu menyebabkan golonan peniaga yang sebelum ini dijanjikan tapak perniagaan selepas empat tahun pembinaan hampa dan mengalami kerugian.

“Sekarang sudah masuk lima tahun. Tapi penyelesaian kepada masalah ini sudah pun dilakukan oleh kerajaan dengan menukar kontraktor.

“Saya juga berharap kontraktor baharu akan menyiapkan projek ini secepat mungkin supaya peniaga boleh berniaga dengan selesa,” katanya selepas merasmikan Lot Gerai Koperasi dan Pelancaran Kad Ceria Wilayah Persekutuan di Pasar Raja Bot di sini baru-baru ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, beliau akan memantau pembangunan projek tersebut bersama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dengan memberi perhatian penuh termasuk mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima.

“Saya harap para peniaga dapat bersabar. Saya tahu kawasan ini sangat sesak dan menyukarkan mereka mengangkut barang niaga.

“Apabila masalah ini selesai peniaga dan pengunjung tidak perlu risau dengan masalah tempat letak kereta kerana ada 800 petak kenderaan akan disediakan,” katanya.