Pasar yang beroperasi berhampiran Lorong Petaling, di sini dulunya dikenali sebagai ‘pasar gelap’ kerana terdapat ramai peniaga menjual barang-barang curi seawal pukul 5 pagi.

Disebabkan isu itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengubah wajah pasar karat ini menjadi pasar antik dan berusaha menaik taraf kawasan terbabit selain menjalankan pemantauan supaya hanya bara­ngan antik tulen dan mematuhi peraturan dijual.

Utusan Malaysia berpeluang meninjau suasana perniagaan pasar berkenaan pada hari minggu dan mendapati, orang ramai terutama warga asing mula berkerumun kawasan tersebut untuk mendapatkan pelbagai jenis barangan dijual.

Setiausaha Persatuan Peniaga Pasar Antik Lorong Petaling Kuala Lumpur, Shaffeq Muzammil Abdul wahab berkata, pasar antik di Lorong Petaling itu adalah yang paling terkenal di negara ini kerana menjadi lubuk kegemaran peminat barangan antik.

Katanya, sebanyak 261 tapak disediakan melibatkan 250 peniaga tempatan menjual pelbagai jenis barangan antik termasuk barangan terpakai seperti pakai­an, gajet, alat-alat komunikasi dan aksesori rumah pada harga berpatutan.

“Antara yang paling menjadi pilihan pengunjung adalah pakaian ‘bundle’ selain barangan antik seperti duit syiling, jam tangan, telefon bimbit, cincin, lukisan, radio, televisyen, lampu, pasu dan alat muzik klasik.

“Barangan ini diperoleh daripada pelbagai sumber yang kebanyakannya datang daripada luar negara. Ia dijual serendah RM5 hingga mencecah ribuan ringgit bergantung pada kualiti dan ketulenannya.

“Kalau pandai tawar-menawar, boleh dapat pada harga lebih murah dan kebiasaannya apa yang dicari mampu diperoleh di sini,” katanya yang turut menjalankan perniagaan di situ hampir 10 tahun dengan menjual pelbagai barangan antik.

Jelasnya lagi, meskipun bero­perasi di lorong-lorong sempit dan dihimpit bangunan kedai lama, ia dilihat sebagai satu fenomena klasik dengan keunikan tersendiri seiring lukisan mural yang terpampang pada din­ding-dinding.

“Pasar antik ini bukan sahaja mendapat tumpuan warga tempatan malah pelancong asing juga. Ini perkembangan yang bagus kerana orang luar dapat me­ngenali barangan tradisi negara kita,” katanya.

Tambahnya, selaku persatuan bertanggungjawab menguruskan kawasan tersebut, pihaknya akan memastikan supaya operasi perniagaan di situ berjalan dengan baik dan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“Persatuan akan sentiasa be­kerjasama dengan DBKL untuk mengubah pasar antik ini ke arah lebih positif dengan harapan supaya ia berterusan medium menambah pendapatan peniaga dan peluang berjimat bagi pembeli,” katanya.