Program anjuran UMNO Bahagian parlimen itu dilaksanakan di kawasan lapang Pangsapuri Raya Permai, Sungai Besi kira-kira pukul 8.30 pagi berjalan dengan sempurna.

Menurut Ketua Bahagiannya, Datuk Rizalman Mokhtar, sebanyak 26 ekor lembu disumbangkan di kawasan parlimen itu bagi pelaksanaan ibadah korban.

“Pada tahun ini kami bersama-sama penduduk mengadakan ibadah korban secara serentak bergotong-royong. Sebanyak 25 kumpulan Pusat Daerah Mengundi (PDM) melaksanakan tugas menyembelih dan mengagihkan daging korban di kawasan PDM masing-masing.

“Secara lazimnya setiap tahun, pihak UMNO Bahagian turut menyerahkan sumbangan lembu kepada masjid dan surau terpilih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam program Korban Perdana Parlimen Bandar Tun Razak semalam.

Rizalman turut melahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada petugas terlibat yang menjayakan program tersebut.

“Inilah semangat yang perlu kita teruskan sampai bila-bila dan tanpa mereka program ini sukar dijayakan,” katanya.

Dalam pada itu, suasana di kawasan itu bertukar kecoh seketika apabila seekor lembu yang ditambat ‘terlepas’ menyebabkan orang ramai terkejut dan panik.

Bagaimanapun, lembu yang turut ‘panik’ itu berjaya ditangkap semula beberapa minit kemudian selepas berjaya ‘dipujuk’ petugas ibadah korban. - UTUSAN ONLINE