Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata pelaksanaan projek itu merupakan antara projek yang dalam kajian pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Kita akan lakukan (pembinaan parking bertingkat) secara berperingkat di lima atau enam lokasi PPR bagi memastikan setiap penduduk mempunyai ruang parkir masing-masing serta bagi menentukan laluan jalan raya dikosongkan.


"Ini juga penting ketika berlakunya kecemasan supaya pihak polis dan bomba dapat masuk ke kawasan dan memberikan bantuan dengan segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'The Lost Food Project' di PPR Kerinchi di sini malam ini.


Sementara itu, mengulas mengenai projek pengagihan stok makanan berlebihan daripada pasaraya kepada penduduk perumahan itu, Khalid berkata ia merupakan usaha yang baik bagi mengelak pembaziran makanan.


"Sayur-sayuran, buah-buahan dan barang makanan lain yang sering dibuang oleh pasaraya kerana tidak sesuai untuk dijual lagi akan dikumpulkan oleh sukarelawan projek ini dan akan diagihkan kepada penduduk PPR.


"Pengagihan makanan di PPR Kerinchi adalah projek kedua selepas ia dilaksanakan di PPR Gombak pada tahun ini. Pada hari ini enam tan makanan diedarkan kepada 600 keluarga yang berdaftar dalam projek ini," katanya. - BERNAMA