Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, inisiatif itu bagi membantu mengatasi masalah kekurangan parkir yang semakin kritikal di kawasan berkenaan.

“Kemudahan yang dibangunkan di PA Desa Rejang itu akan siap sepenuhnya pada Jun ini dan mempunyai kira-kira 667 petak parkir manakala, di PPR Kampung Baru Air Panas telah mencapai 78 peratus siap dan dijangka boleh digunakan hujung tahun ini.

“Selain itu, kerajaan juga merancang membangunkan parkir berkonsepkan ‘metal decking’ yang mampu menjimatkan ruang seperti di negara -negara maju seperti Jepun dan Korea,” katanya selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Setiawangsa di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Terdahulu, kira kira 3,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong asing hadir memeriahkan majlis berkenaan yang membawa tema ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera “ bertepatan dengan matlamat menceriakan bandar raya dengan kebersihan dan kemudahan. - UTUSAN ONLINE