Dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira pukul 10.40 malam itu, tiga penjaga membabitkan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand turut ditahan.

Kesemua GRO yang ditahan di premis itu terdiri daripada warga Vietnam, China dan Thailand berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Pelanggan perlu membeli kalungan bunga dengan harga RM100 dan RM1,000 pula bagi jubah dengan memilih mana-mana gadis GRO untuk menyanyi di pentas. Mana-mana gadis GRO yang mendapat kalungan bunga terbanyak, dia akan dipilih sebagai pemenang dan akan dimahkotakan.

“Hasil daripada serbuan ini, kita merampas pelbagai peralatan elektronik untuk tujuan karaoke antaranya mikrofon, paparan televisyen, pembesar suara dan beberapa keping cakera padat (CD),” katanya di sini hari ini.

Selain itu Nohizam memberitahu, pihaknya turut merampas 22 unit kalungan bunga, empat mahkota, dua helai jubah selain wang tunai sebanyak RM701.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1995 manakala warga tempatan dan warga asing pula di bawah Seksyen 6(1), 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39B Peraturan Imigresen,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE