Aplikasi Ombre memudahkan orang ramai memahami tentang penggunaan pakaian apa yang hendak dipakai atau dibeli mengikut sifat fizikal mereka sendiri. - UTUSAN ONLINE

Bagi segelintir orang, pemilihan pakaian adalah sukar kerana terdapat pelbagai kombinasi warna dan stail.

Sebagai contoh, jika kita mahu pakai kemeja berwarna ungu, seluar dan kasut manakah yang kita patut pakai sekali? Kombinasi yang salah akan mengundang bencana fesyen.

Penampilan diri itu sangat penting kerana menggambarkan identiti tentang siapa diri kita buat mata yang memandang. Ia adalah asas untuk membina keyakinan anda.

Tertekan, penyelesaian yang terpaksa diambil adalah dengan merujuk kepada khidmat pakar perunding imej yang mana kos yang dikenakan adalah sangat tinggi dan tidak berpatutan.

Melihat permasalahan ini, sekumpulan anak muda melayu memperkenalkan sebuah aplikasi mudah alih dikenali sebagai Ombré yang membantu anda meneroka dunia fesyen dengan cadangan pakaian seiring sifat fizikal seseorang.

Aplikasi ini merupakan aplikasi pertama di dalam dunia yang boleh memberi cadangan fesyen menggunakan algoritma. Ia bagaikan anda mempunyai stailis fesyen di dalam poket.

Pengasas Ombré, Imran Sheik berkata, aplikasi tersebut memberi cadangan pakaian berdasarkan kepada struktur badan anda mengikut ciri-ciri lebih 10,000 barangan yang boleh didapati secara dalam talian.

Aplikasi ini dicipta bertujuan bagi mengisi kekosongan di dalam pasaran dengan menggabungkan kecanggihkan teknologi masa kini di dalam industri fesyen yang sememangnya merupakan salah satu peneraju ekonomi dunia.

“Ombré menggunakan keupayaan artificial intelligence (AI) untuk memberi nasihat dan cadangan kepada pengguna tentang pakaian apa yang hendak dipakai atau dibeli mengikut sifat fizikal mereka sendiri.

“Kami menggunakan teknik Convolutional Neural Network (CNN) untuk mengenal pasti kesemua ciri-ciri pakaian dan seterusnya memasangkannya dengan ciri-ciri fizikal pengguna aplikasi tersebut.

“Sebelum ini, seorang penggaya fesyen (fashion stylist) hanya boleh menggayakan seorang pelanggan pada satu masa.

“Tetapi Ombré boleh menggayakan beratus ribu pengguna dalam satu masa dan aplikasi kami hanya perlukan 7 saat untuk memberi pelbagai cadangan fesyen,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Imran berkata, orang ramai berpeluang meneroka beribu-ribu barangan dalam talian untuk disesuaikan dengan badan mereka atau mengambil gambar pakaian sedia ada untuk dipadankan dengan produk baharu.

“Ombré masih di peringkat awal penubuhan dan perkembangan. Oleh yang demikian, kami berharap supaya orang ramai khususnya mereka yang gemar berfesyen untuk memberikan sokongan dengan memuat turun aplikasi tersebut.

“Jumlah pengguna yang mencukupi dapat meningkatkan kualiti produk melalui jaminan keputusan data yang lebih tepat dan menyeluruh.

“Jika tiada aral melintang, dan dengan sokongan yang diberikan oleh orang ramai, kami berharap untuk menembusi pasaran luar negara pada 2018, Insya-Allah”, katanya lagi.

Ombré boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple Store dan Google Play, atau dengan melayari http://download.ombre.me. - UTUSAN ONLINE