“Ini berkaitan nyawa manusia. Bukan sahaja keselamatan pemandu perlu diutamakan dan diberi perhatian, tetapi juga pekerja,”.

Demikian ditegaskan seorang pekerja kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Razali ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak selenggara jalan di Seremban 2, Negeri Sembilan di sini.

Beliau berkata, kemalangan da­pat dielakkan sekiranya kontraktor mematuhi peraturan dan pemandu pula tidak terburu-buru serta bersabar semasa kerja-kerja dilaksanakan.

“Ada yang memandu laju walaupun nampak kami sedang be­kerja di jalan raya.

“Sebaik-baiknya perlahankan kenderaan dan patuhi arahan papan tanda serta pengawal bendera, itu cara paling selamat,” ka­tanya memberi pandangan m­e­ngenai isu kegagalan kontraktor mematuhi aspek keselamatan dan mempraktikkan amalan kesihatan ketika kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan.

Mengukuhkan lagi kenyataan Ra­zali, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Mambau dekat sini mendapati aspek keselamatan turut dipatuhi beberapa kontraktor lain.

Selain pemasangan papan tan­­da amaran dalam jarak kira-kira 15 meter dari lokasi tapak, seorang pengawal bendera bagi mengawal lalu lintas turut ditempatkan.

Baru-baru ini Institut Ke­se­lamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (Niosh) mendedahkan ne­gara mempunyai infrastruktur yang bagus namun dari segi kerja-kerja penyelenggaraan dan amalan keselamatan dan kesihatan yang baik di lokasi kerja masih bertaraf mentaliti kelas ketiga.

Tinjauan Utusan Utusan Malaysia di sekitar Lembah Klang terutama di Bandar Sri Permaisuri, Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Kerinchi, Pantai Da­lam, semalam mendapati dak­­waan itu berasas apabila ada be­berapa kontraktor didapati mengabaikan apsek ke­selamatan.

Berdasarkan pemerhatian, papan tanda keselamatan yang dipasang tidak mencukupi malah kedudukannya tidak betul menyebabkan pengguna jalan raya sukar membaca apa yang dipapar.

Situasi sama turut berlaku di beberapa lokasi di Melaka iaitu di sekitar Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dekat Bertam Ulu di sini apabila pihak kontraktor tidak memasang sebarang papan tanda amaran sebelum lokasi kerja-kerja selenggara.

Perkara ini jelas boleh me­ng­undang risiko kemalangan ter­utamanya pada waktu malam disebabkan kerja-kerja tersebut telah menyebabkan salah satu daripada jalan dua lorong itu ditutup kepada kenderaan.

Papan tanda tersebut hanya dipasang selepas kira-kira 500 meter dari permulaan tapak projek tersebut yang dianggarkan secara keseluruhannya melebihi jarak lima kilometer.

Turut mengabaikan aspek ke-selamatan kontraktor di Lebuh Ayer Keroh, di sini apabila terdapat penghadang jalan tumbang namun tidak dibetulkan segera sekali gus mendedahkan pengguna kepada risiko kemalangan.

Keadaan sama turut berlaku di Jalan Batu Berendam, di sini apabila Utusan Malaysia turut menemukan beberapa besi penutup longkang yang sudah rosak namun tidak dibaiki atau digantikan oleh pihak kontraktor dan hanya ditutup menggunakan papan tanda.

Berdasarkan pemerhatian terdapat lebih daripada lima besi penutup longkang berhampiran jalan utama itu rosak teruk.

Sehubungan itu pihak berkuasa diminta menyemak semula secara menyeluruh langkah ke-selamatan berhubung pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di negara ini.