NORAIN HAMDAN

Norain Hamdan, 25, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar raya Melaka merupakan salah seorang daripada model yang bergiat aktif dalam memperagakan busana pengantin dan pakaian muslimah di negeri ini.

Gadis yang berasal Tehel, Melaka itu berkata, minat yang mendalam terhadap bidang peragaan dan fesyen memberi dia keyakinan untuk menceburi bidang itu walaupun ha­nya secara sambilan.

Gadis berketinggian 164 sentimeter itu berkata, bidang pe­ragaan itu diceburinya kira-kira tiga tahun lalu setelah ditawarkan peluang untuk memperagakan busana pengantin.

Katanya, peluang yang diberikan itu diterima sebagai satu cabaran untuk membolehkan dirinya tampil lebih berkeyakinan di khalayak ramai.

““Bidang peragaan bukan sahaja membuatkan saya lebih berkeyakinan diri bahkan menjadikan saya seorang yang lebih baik terutama dari segi kelancaran berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Walaupun masih baharu dalam bidang ini ia menawarkan seribu satu pengalaman,” katanya.

Selain bidang pengacaraan, gadis yang meminati aktiviti lasak ini turut bercita-cita untuk bergelar pembaca berita dan menjadi pengacara rancangan televisyen suatu hari nanti.

Katanya, ketika masih kecil dia gemar melihat program yang menampilkan kebolehan pengacara di televisyen terutama rancangan yang berbentuk hiburan.

Lebih menarik lagi Norain berkata, bidang pengacaraan menuntut dirinya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas bagi menentukan kejayaan dalam bidang itu dapat dikecapi.

“Setiap pengacara televisyen mempunyai karisma dan perso­naliti yang tersendiri sebagai aset atau kekuatan untuk menonjol.

“Walaupun sukar, saya tetap percaya jika kita berusaha de­ngan bersungguh-sungguh pasti kejayaan dapat dicapai pada suatu hari nanti” katanya.