AZFARIZAL ABDUL RASHID

Timbalan Pengarah, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pemberian insentif itu bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran secara online melalui portal www.mpsj.gov.my tanpa perlu ke kaunter MPSJ.

“Ia selaras dengan hasrat MPSJ untuk mencapai urusan kaunter sifar selari dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 untuk Teras 1 iaitu Tadbir Urus Terbaik,” katanya.

Azfarizal berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan insentif RM10 perlu mendaftar di portal MPSJ sebagai ahli [email protected] dan membuat pembayaran melalui portal berkenaan pada Penggal 1 (bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2019).

“Bayaran rebat itu diberikan kepada pemilik akaun yang membuat pembayaran cukai taksiran untuk tempoh setahun (penggal 1 dan 2) dan tidak mempunyai tunggakan cukai taksiran,” katanya.

Tambah Azfarizal, pemberian insentif RM10 itu diharap dapat meningkatkan pembayaran cukai taksiran melalui portal MPSJ dengan sasaran peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding sebanyak 35 peratus tahun lalu.

Jelasnya, pada 2018, MPSJ berjaya mengutip 92 peratus daripada cukai taksiran yang berjumlah RM197.543 juta dan berharap dapat mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM218 juta pada tahun ini. - UTUSAN ONLINE