Dalam pertandingan di Taman Tasik Ampang Hilir dekat sini, Mohamad Khairul diumumkan juara dan naib juara setelah berjaya menaikkan dua ekor patin seberat 12.5 kilogram (kg) dan 11.7 kg.

Kemenangan itu melayakkan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM3,000 beserta barangan iringan.

Rezeki yang tidak disangka-sangka itu katanya merupakan detik paling manis dalam minatnya pada aktiviti memancing dan merancang untuk menggunakan wang tunai untuk keperluan ahli keluarga.

“Kemenangan ini amat bermakna sekali. Saya sangat gembira dan bersyukur malah kemenangan ini saya hadiahkan buat isteri yang sedang hamil serta tiga anak,” katanya.

Hadiah tempat ketiga disandang Nurul Ruhaya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta barangan iringan selepas berjaya menaikkan ikan patin seberat 9.5 kg.

Dalam acara yang disertai oleh kira-kira 1,000 kaki pancing itu, sebanyak 30 kg ikan patin berjaya dinaikkan dengan anggaran berat 13 kg.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti riadah yang disertai keluarga pemancing.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun berkata, pihaknya berbangga melihat penyertaan peserta dari seluruh negara dan berhasrat meneruskan aktiviti itu.

“Kita akan meneruskan JPKL Siri 2019 tahun depan yang telah memasuki tahun ketujuh dengan tawaran hadiah yang lumayan kepada para pemancing sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE