MITI dalam kenyataannya berkata, Darell bertemu Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross, Timbalan Penolong Presiden bagi Ekonomi Antarabangsa merangkap Timbalan Pengarah Majlis Ekonomi Negara, Clete Willems serta Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer.

“Pertemuan ini memberi ruang untuk bertukar-tukar pandangan bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan serta memahami kebimbangan utama ekonomi kedua-dua negara,” katanya di sini hari ini.

Darell turut bertemu wakil dari lebih 26 syarikat dalam satu perbincangan meja bulat yang dihoskan oleh Majlis Perniagaan AS-ASEAN serta Dewan Perniagaan AS dan mengadakan mesyuarat berasingan dengan syarikat dari industri kimia dan aeroangkasa.

“AS berminat untuk memahami dasar perdagangan dan perniagaan Malaysia serta pendirian negara dalam pelbagai bidang daripada perjanjian perdagangan bebas, penjagaan kesihatan, ekonomi digital, e-dagang sehingga logistik,” katanya.

Pada 2018, AS kekal sebagai negara perdagangan utama Malaysia di rantau Amerika Utara dan rakan perdagangan ketiga terbesar dunia dengan perdagangan bernilai RM155.68 bilion mewakili 8.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport negara ke Amerika Syarikat tahun lalu berjumlah RM90.73 bilion tahun lepas manakala import berada pada AS$16.08 bilion (RM64.94 bilion) dipacu oleh barangan pembuatan.

AS kekal sebagai pelabur kedua terbesar negara dalam sektor elektrik dan elektronik, peranti perubatan, tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa dengan pelaburan bernilai RM74.01 bilion.

Syarikat-syarikat Malaysia berjaya meneroka pasaran AS dalam pelbagai sektor termasuk hiburan, oleokimia, industri pembungkusan, perabot dan perbankan. - UTUSAN ONLINE