Timbalan Menteri MITI, Dr Ong Kian Ming berkata, ini kerajaan mahu terus menjadikan Malaysia destinasi pelaburan sangat baik bagi pelaburan langsung asing (FDI) dan dalam masa sama memastikan adanya insentif dan geran padanan yang sesuai bagi industri domestik.

“Tahun lepas, DDI turun sedikit. Jadi, ini adalah bahagian yang kita mahu lebih beri tumpuan, bagi memastikan kelembapan pada 2018 disebabkan perubahan dalam kerajaan boleh ditangani tahun ini dan juga melangkah ke 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2019 dan forum yang dianjurkan oleh Kedutaan Korea Selatan di sini hari ini.

Pada 2018, FDI Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak RM80.5 bilion, melonjak 48 peratus daripada RM54.4 bilion pada 2017.

Bagaimanapun, DDI turun 17.1 peratus kepada RM121.2 bilion susulan penurunan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

Terdahulu dalam ucapannya, Kian Ming berkata, Malaysia berharapkan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dan kerjasama dinamik dari Korea Selatan.

Beliau berkata, industri halal adalah antara bahagian yang menerima minat yang besar dari banyak negara termasuk Korea Selatan. Sehubungan itu, Malaysia ingin menawarkan kepakaran kita dalam membantu syarikat Korea Selatan, terutama yang berada di Malaysia untuk menembusi pasaran halal global.

“Dengan permeteraian Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Halal antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Agensi Penggalakan Pelaburan Perdagangan Korea baru-baru ini, saya menggesa pelabur dari Korea Selatan untuk datang dan melabur di Malaysia dan menimba pengetahuan dalam mengguna pakai dasar halal atau mesra Muslim daripada kami,” katanya.

Ong berkata tahun depan, Malaysia dan Korea Selatan akan meraikan hubungan diplomatik ke-60 dan berharapkan lebih banyak penglibatan syarikat swasta untuk menjalin hubungan lebih erat antara kedua-dua negara. - BERNAMA