Pengarah Jualan dan Pemasaran Pulse Grande Hotel, Rodziah Salleh berkata, Merdeka BBQ Buffet Dinner itu menawarkan sebanyak 100 jenis makanan termasuk pelbagai jenis hidnangan barbeku, masakan tradisonal dan masakan barat.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan kepada pelanggan ialah RM85 untuk dewasa dan RM40 bagi kanak-kanak, hidangan ini juga disediakan pada setiap hari Sabtu namun, harganya RM90 untuk dewasa dan RM45 untuk kanak-kanak.

"Merdeka BBQ Buffet Dinner ini amat istimewa kerana kita menyediakan pelbagai jenis makanan bagi membolehkan pelanggan membuat pilihan sekali gus dapat memuaskan hati pelanggan selain berbaloi dengan harga yang dibayar.

"Sempena Hari Kebangsaan 2018, kami juga menawarkan pakej bilik pada harga RM395 iaitu bilik deluxe beserta sarapan dan Merdeka BBQ Buffet Dinner untuk dua orang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rodziah, pakej bilik itu ditawarkan bermula 31 Ogos hingga 2 September dan pelanggan turut diberikan kemudahan pengangkutan untuk ke Karnival Hari Kebangsaan dan ke kawasan-kawasan menarik lain di Putrajaya.

Mengulas lanjut mengenai Merdeka BBQ Buffet Dinner, Chef Eksekutif Pulse Grande Hotel, Hairy Ismail A. Rahman berkata, barbeku yang disediakan amat istimewa kerana disediakan oleh tukang masak berasal dari Pakistan.

"Untuk barbeku kita menyediakan ayam malai bhotti, kambing seekh kebab, steak; udang dan juga ikan. Bahan perapan untuk barbeku ini dibawa khas dari Pakistan bagi memastikan rasanya sama seperti masakan di negara tersebut.

"Selain menu popular kami iaitu beriani ayam, kita juga menampilkan pelbagai jenis makanan tradisional tempatan seperti gulai kawah kambing dengan rebung, daging dendeng, rendang cili api ayam dan juga pulut kuning," katanya.

Selain itu katanya, antara kelainan yang ditampilkan dalam Merdeka BBQ Buffet Dinner juga ialah pihaknya turut menyediakan sup ikan ampap dan terung bakar air asam yang popular di Sabah.

"Dua masakan ini dibuat sendiri oleh tukang masak kita yang berasal dari Sabah dengan menggunakan resepi asal. Kita jangkakan hidangan ini juga akan mendapat perhatian pelanggan kerana rasanya sangat sedap," katanya.

Orang ramai yang ingin membuat sebarang tempahan atau pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pulse Grande Hotel di talian 03-88878888 atau boleh berurusan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2303301.

Selain pakej-pakej istimewa seperti yang dilampirkan, Pulse Grande Hotel turut menawarkan perkhidmatan membuat kek dan hamper sempena Hari Kebangsaan 2018 dan untuk maklumat lanjut orang menghubungi di talian yang sama. - UTUSAN ONLINE