Aktiviti lakaran berkumpulan sempena Urbanscapes 2018: KL Sketchnation (Sketch-Time Continuum) itu memberi ruang kepada setiap pelukis mengilhamkan panorama diimpikan untuk disesuaikan pada lokasi ikonik atau bangunan warisan.

Menurut pengasas KL Sketch Nation, Ahmad Hakym Ahmad Hilmy, penyertaan menggalakkan terutama pelukis tempatan dan luar negara termasuk peserta yang hanya menjadikan lakaran bandar atau urban skectching sekadar hobi turut teruja menonjolkan bakat masing-masing.

Katanya, tiga lokasi iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek dan Dataran Me­dan Pasar di Kuala Lumpur ditetapkan bagi setiap 20 pelukis untuk merakamkan pemandangan ibu kota melalui lakaran tangan dalam tempoh masa empat jam.

“Peluang melukis melalui medium lakaran bandar ini juga secara tidak langsung melahirkan rasa bangga terhadap tahap pencapaian negara apabila bukti pembangunan pesat itu kini dapat jelas diamati melalui hasil lakaran.

“Menjadikan bangunan bersejarah negara sebagai subjek utama amat bermakna kepada setiap pelukis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Aktiviti melukis tersebut kemudiannya disusuli dengan segmen dialog khas antara pelukis lakaran bandar tempatan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion.

Orang ramai yang mahu melihat lakaran tersebut secara lebih dekat boleh berkunjung ke ruang pameran Galeri Thinkcity, Jalan Tun H.S. Lee.