Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, setakat ini proses penggabungan itu masih belum melibatkan pemegang saham utamanya iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, ini kerana ia bukan hanya melibatkan pasaran Malaysia sahaja, tetapi pasaran negara lain yang membabitkan banyak negara.

“Kalau tak silap saya, ia (Axiata dan Telenor) masih berunding. Tak habis lagi sebab ia kompleks. Ia bukan sahaja melibatkan operasi di Malaysia tetapi di sembilan hingga 10 buah negara.

“Kita (Khazanah) kena tengok apakah cadangan akhir. Bila kedua-dua syarikat itu setuju, cadangan itu akan dibentangkan ke pemegang saham. Setakat ini ia belum sampai ke tahap itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebelum ini terdapat dakwaan cadangan penggabungan itu mungkin menemui kegagalan kerana terdapat beberapa hala­ngan yang sukar untuk mendapat persetujuan bersama.

Pada Mei lalu, Axiata mengumumkan ia mengadakan perbincangan dengan Telenor Group untuk menggabungkan operasi mereka di Asia, termasuk ranca­ngan bagi menggabungkan anak syarikat mereka iaitu Celcom Axiata Bhd dan Digi.Com Bhd, menjadi pengendali mudah alih terbesar Malaysia.

Namun, penggabungan itu turut menjadi isu kerana sebelum ini kerajaan Norway telah meluluskan resolusi melarang penggunaan minyak sawit selepas Switzerland dan Perancis hinggakan ada pihak yang membantah penggabungan tersebut.

Dalam hal itu, Shahril berpendapat Khazanah tidak melihat isu itu untuk dijadikan bantahan terhadap cadangan penggabu­ngan dua syarikat telekomunikasi tersebut.

“Apa yang kita lihat ialah faedah untuk negara kita. Cadangan tersebut memberi faedah yang besar kepada syarikat, jika kita tidak mengambil kira isu mi­nyak sawit.

“Tetapi jika anda merujuk kepada isu geopolitik, adakah kita perlu membatalkan perniagaan dengan syarikat Norway hanya kerana negara itu menyekat isu penggunaan minyak sawit? Adakah kita perlu buat begitu? Jika begitu kita perlu menghentikan perniagaan de­ngan syarikat-syarikat Eropah,’’ katanya.

Menyebut contoh seperti projek ECRL yang mana kerajaan China akan menghentikan import minyak sawit jika projek itu tidak dijalankan, beliau berkata ia adalah satu keadaan yang berbeza.

Perbezaan­nya jelas beliau, isu minyak sawit yang berkait de­ngan cadangan projek ECRL lebih kepada tekanan tetapi penggabu­ngan antara Axiata dan Telenor sebenarnya mampu memberi banyak faedah dengan pembentukan syarikat gergasi telekom baharu yang beroperasi di Kuala Lumpur.

“Ini menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu hab digital te­lekomunikasi untuk Asia dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang besar untuk negara,’’ jelas beliau.