Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setakat ini, perkhidmatan shuttle Tebrau itu kini mempunyai 31 kekerapan perjalanan sehari dengan kapasiti 1,500 penumpang.

Katanya, perkhidmatan rel itu kini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kedua-dua negara.

“Semalam, perkhidmatan rel KTMB dari Johor Bahru ke Woodlands ditambah lima lagi frekuensi perjalanan menjadikannya 31 perjalanan sehari.

“Tahun depan, kita akan minta Singapura tambah lima frekuensi perjalanan lagi menjadikannya 36 perjalanan sehari,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis edaran pek cenderahati kepada penumpang KTMB sempena Tahun Baharu Cina di KL Sentral di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 1,000 pek cenderahati diedarkan kepada penumpang KTMB.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin. - UTUSAN ONLINE