Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau bersyukur kerana perkara itu dapat dicapai melalui perencanaan rapi dan dasar ekonomi yang tepat.

“Alhamdulillah, melalui perencanaan rapi dan dasar ekonomi yang kukuh, ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus pada suku keempat 2017.

“Ini menjadikan pertumbuhan keseluruhan bagi 2017 juga 5.9 peratus, berbanding 4.2 peratus pada 2016. Kita di landasan tepat,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.9 peratus pada 2017, melepasi unjuran yang dibuat kebanyakan penganalisis termasuk Bank Dunia.

Pertumbuhan itu lebih tinggi berbanding 4.2 peratus dan lima peratus yang dicatatkan masing-masing pada 2016 dan 2015.

Pada suku keempat 2017, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.9 peratus, berbanding 4.5 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Bank Negara, permintaan sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dengan sokongan berterusan daripada sektor luaran, manakala dari segi penawaran, kesemua sektor ekonomi terus berkembang kecuali sektor perlombongan. - UTUSAN ONLINE