Lebih-lebih lagi tandas awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ataupun klia2 yang tentunya perlu sentiasa bersih bertepatan dengan kedudukannya sebagai pintu masuk utama Malaysia, malah memainkan peranan pen­ting dalam memupuk persepsi awal pengunjung ke negara ini.

Apatah lagi jumlah penum­pang yang menggunakan per­khid­matan KLIA dilihat me­ningkat saban tahun. Sepanjang November 2017, KLIA mencatatkan sejumlah 53 juta pergerakan trafik penumpang dengan 72 pe­ratus daripadanya adalah pelancong antarabangsa.

Atas kesedaran itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) mengambil inisia­tif menganjurkan kempen Pay It Forward yang menekankan mengenai kepenti­ngan penjagaan kebersihan tandas awam di lapa­ngan terbang.

Kempen yang dilancarkan pada 14 Disember itu adalah untuk mendidik masyarakat berkaitan etika penggunaan tandas yang betul selain menggalakkan mereka bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran yang bersih untuk pengguna lain.

Dengan tagline ‘Kan hebat jika kita bertimbang rasa? Balas kebaikan dengan kebaikan’, diharapkan usaha yang dilakukan itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pen­tingnya sikap dan tanggungjawab terhadap penjagaan kebersihan tandas awam.

Melalui kempen tersebut, pelbagai inisiatif dilaksana­kan termasuk penambahbaikan 224 tandas di terminal utama KLIA, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Selain itu, Malaysia Airports turut bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pembersihan tandas.

Kepakaran yang tersedia di KPKT digunakan sepenuhnya un­tuk mendapat maklum balas melalui penilaian yang dilakukan yang mana berdasarkan penilai­an itu, ia berjaya mempertingkatkan lagi kualiti perkhid­matan pembersihan tandas di KLIA.

Sementara itu, Malaysia Airports turut mengadakan sesi taklimat dan latihan penilai­an penarafan lima bintang ke atas tandas di KLIA yang dikendalikan KPKT kepada 170 warga kerja Malaysia Airports dan kontraktor pembersihan tandas. Pendekatan itu penting untuk memastikan tahap perkhidmat­an dan tanda aras yang konsis­ten.

Lebih membanggakan sejak penggunaan sistem penarafan itu, Malaysia Airports telah berjaya mening­katkan kualiti perkhidmatan pembersihan yang mana sejak ia dimulakan, 29 peratus dari­pada tandas di KLIA telah mencapai taraf lima bintang hanya dalam tempoh dua minggu berbanding 17 peratus sebelumnya.

Antara penambahbaikan yang dibuat terhadap perkhidmatan pembersihan tandas adalah menetapkan prosedur pembersihan tandas dalam masa satu minit terutama di waktu puncak dan menggunakan teknologi nano dan sistem pengudaraan yang dinaik taraf bagi mengurangkan bau yang tidak menyenangkan.

Walaupun masih terdapat pe­ning­katan yang perlu dilakukan, Malaysia Airports yakin inisiatif-inisiatif yang diambil itu akan berjaya mencapai objektif dalam memastikan semua tandas di KLIA mencapai piawaian lima bintang dan memberi keselesaan kepada pengguna.

Dalam memastikan kempen anjurannya lebih berkesan, Malaysia Airports tidak hanya memupuk kesedaran di persekitaran KLIA, tetapi turut aktif mendidik generasi muda mela­lui penganjuran lawatan pi­hak sekolah ke lapangan terbang.

Melalui lawatan tersebut, mu­­rid-murid sekolah diajar bagaimana menggunakan kemudahan awam dengan berhemah. Inisiatif itu diharap dapat mendidik dan memupuk etika yang betul dalam minda masyarakat sejak dari kecil lagi.