Di sebalik kesungguhan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan demi ke­selamatan umum, masih ramai yang tidak menghargainya.

Lebih menyedihkan apabila tabiat buruk itu mengundang risiko kemalangan dan menjadi punca kesesakan lalu lintas.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Pudu, di sini mendapati masih ramai pejalan kaki yang sanggup mengadaikan nyawa mereka dengan menyeberangi laluan-laluan sesak.

Bahkan ada di antara ibu-bapa yang sanggup mengheret anak-anak serta warga emas meredah kesibukan trafik tanpa mengira waktu.

Kewujudan papan tanda dilarang me­lintas dan penghadang di tengah-tengah pembahagi jalan raya yang dipasang oleh pihak berkuasa tempatan pula seolah-olah tidak dipedulikan malah tidak berjaya mengekang kedegilan warga kota.

Pemandangan yang sa­ma turut dilihat di Jalan Sultan Ismail berdekatan pusat beli-belah Sungei Wang, Bukit Bintang di sini yang menjadi tarikan utama pelancong asing di ibu kota.

Pemerhatian di beberapa kawasan yang terletak berhampiran jejantas di situ mendapati warga asing dan pelancong menjadi antara golongan yang kerap melanggar peraturan yang ditetapkan.

Selain di laluan berjejantas. Orang ramai juga dilihat tanpa rasa bersalah menyeberangi lintasan belang tanpa mematuhi lampu isyarat yang dipasang.

Keadaan itu menyebabkan ada segelintir pemandu yang dengan sengaja tidak mematuhi lampu isyarat kerana berang dengan tindakan pejalan kaki.

‘Kucar kacir’ ini boleh dilihat dengan jelas di lintasan pusat beli-belah terkemuka Pavilion di Bukit Bintang.

Di kawasan yang sesak se­perti itu, tindakan ‘berani mati’ itu sudah tentu boleh menyebabkan kemalangan.

Di laluan pintu masuk Petaling Street pula, jejantas yang disediakan bertukar menjadi ‘rumah’ bagi golongan gelandangan sehingga mencacatkan pemandangan di tengah-tengah ibu kota.

Bukan sahaja dicemari sampah, bahkan ada yang mendirikan khemah atau tempat tidur di laluan jejantas menggunakan kotak dan sisa buangan.

Justeru sudah tiba masanya pihak berkuasa menguatkuasakan tindakan kompaun terhadap mereka yang ingkar pada peraturan ditetapkan.

Usaha lain termasuk me­lakukan lebih banyak kempen kesedaran dan promosi melalui rangkaian televisyen dan media sosial.