Ia bagi membolehkan pihak berkepentingan itu untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Wang berkenaan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan tujuh responden.

Tujuh pihak berkenaan adalah UMNO, bekas Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Wanita MCA, Syarikat pengurusan acara Binsabi Sdn. Bhd., Syarikat pelaburan Perano Sdn. Bhd., Badan Perhubungan UMNO Sabah dan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan mengikut notis mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM baru-baru ini telah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata tindakan itu diambil mengikut  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN ONLINE.