Sebab itulah, ramai peniaga tidak mengira usia dan bangsa berebut-rebut untuk menjalankan perniagaan di lokasi tum-puan ramai.

Laluan pejalan kaki berhampiran Masjid Al-Bukhary yang terletak di Jalan Hang Tuah, di sini antara lokasi pilihan peniaga mencari rezeki sebelum dan selepas solat Jumaat.

Kedudukannya yang agak strategik berhampiran bangunan pejabat dan komersial, pusat beli-belah terkemuka, sekolah serta stesen transit aliran ringan itu menjadi antara faktor utama.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi baru-baru ini mendapati, terdapat lebih 20 peniaga memenuhi ruang pejalan kaki.

Terdapat pelbagai bara­ngan dijual antaranya makanan, minuman, pakaian serta aksesori seperti jam tangan.

Berdasarkan pemerhatian gerai-gerai tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung sebelum tetapi juga sebaik usai solat.

Peniaga buah-buahan, Lydia Malasari Razali, 20, berkata, berniaga di sekitar kawasan masjid itu sangat meriah dan menguntungkan berbanding masjid lain di sekitar ibu negara.

“Pengunjung di sini terlalu ramai terutama warga asing dan mereka selalunya akan beli borong buah-buahan yang dijual.

“Kami yang berniaga pun semakin bersemangat kerana sambutan cukup menggalakkan daripada mereka setiap kali hari Jumaat,” katanya ketika ditemui.

Bagi Mohamed Aswad, 37, yang berniaga peralatan elektronik terutama jam tangan berkata, jualannya akan meningkat setiap kali hari Jumaat.

“Walaupun waktu berniaga singkat iaitu hanya dua hingga tiga jam sahaja namun saya dapat menjualnya lebih banyak berbanding berniaga di tempat lain pada hari biasa dan pelanggan yang paling ramai membeli adalah warga asing,” katanya.

Seorang pengunjung, Ahmad Taufik Ismail, 35, berkata, dia memilih datang awal untuk makan tengahari di situ sebelum menunaikan solat Jumaat.