Serbuan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu turut disertai Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han bersama wakil penduduk setempat.

Menurut Sze Han, lot tanah tersebut dikenal pasti milik persendirian dan sebuah syarikat pemaju dipercayai disalahguna untuk operasi pelupusan sampah haram sejak dua bulan lalu.

Katanya, kedua-duanya dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM25,000 di bawah Seksyen 70 A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan menjalankan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan.

“Aduan penduduk berhampiran yang tidak tahan menghidu bau busuk itu sebelum ini telah dipanjangkan kepada operator pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) apabila baunya didakwa semakin teruk sejak minggu lalu.

“Siasatan awal IWK mendapati tiada sebarang kebocoran pada saliran miliknya sehinggalah penemuan kepada lombong sampah haram ini yang keluasannya kira-kira 1.2 hektar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Sze Han, notis amaran turut dikeluarkan kepada pemilik tanah agar kerja-kerja pembersihan tapak dapat dilakukan segera sebelum tindakan rampasan tanah dikenakan sekiranya gagal mematuhi arahan. - UTUSAN ONLINE