Pemilik cafe, Nur Humairah Sulaiman, 26, berkata, untuk memehuni permintaan dan cita rasa pelanggan, setiap hari beliau menyediakan sekurang-kurangnya 100 biji bagi setiap jenis kuih yang dimasak menggunakan resipi ibunya.  
Antara kuih yang dihidangkan adalah kuih Ku, Puteri Ayu, Nona Manis, popia sambal, pulut panggang, bakar pandan, cara berlauk, abuk-abuk, pulut inti, Chang, keria, lapis, agar-agar, onde-onde dan kole kacang. 
Menurutnya, walaupun kafe itu baru beroperasi kira-kira setahun, sambutan yang diterima daripada peminat kuih tradisional amat memberangsangkan. 
Katanya, proses penyediaan bahan-bahan kuih seperti mengadun tepung dibuat seawal pukul 3 pagi untuk memastikan setiap kuih yang dihasilkan dapat dibuat dengan teliti.
“Saya mengutamakan rupa dan rasa kuih yang dibuat sebelum dijual untuk memastikan pelanggan puas hati dengan apa yang mereka belanjakan.
“Jika pelanggan suka dan berpuas hati, itulah penghargaan yang paling bermakna pada saya,” katanya ketika di temui di kafe berkenaan.  
Antara sajian yang menjadi kegemaran pelanggan dan signatur di kafe Nur Humairah adalah kuih cara berlauk, cara keju, popia sira dan kuih serabai.
Beliau berkata, kuih-muih yang terdapat disitu dijual pada harga antara 50 sen sehingga RM1 manakala makanan dijual antara RM3 sehingga RM6. 
“Bagi kuih cara berlauk dan menu roti jala, kita sediakannya di kedai untuk memastikan pelanggan dapat menikmatinya ketika masih panas.
“Jualan kuih cara pernah melebihi 400 biji dalam masa sehari dan permintaan terus meningkat pada waktu sarapan, makan tengah hari dan minum petang,” katanya.
Selain jual harian di kafe, Nur Humairah juga menerima tempahan untuk majlis melalui pesanan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal.  
Selain pelbagai jenis kuih, kafe itu juga menawarkan menu istimewa seperti mi rebus otai, laksa Rara, bakso tenis, nasi lemak ibu dan soto power. 
Katanya, mi rebus resipi asli keluarganya juga merupakan antara sajian yang digemari pelanggan kerana kepekatan kuah yang dimasak dengan keledek dan aroma geragau yang digunakan. 
info Kafe Kueh Melaka 
Alamat  : 39, Jalan Graha Maju, 75300 Melaka
Telefon : 017-303 0479
Waktu Operasi : Pukul 10 pagi sehingga 6 petang,  Isnin hingga Sabtu dan ditutup pada Ahad. 
Instagram : Kafe_Kueh_Melake
Facebook : Kueh_Melake