Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) memaklumkan, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan penumpang dan komuniti lapangan terbang sebagai keutamaan.

“Cerita mengenai sekumpulan lebah yang hinggap di KLIA2 pagi tadi (semalam) telah berjaya diselesaikan oleh pasukan kawalan serangga pada pukul 8 malam.

“Sila yakin bahawa kami sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan komuniti lapangan terbang,” kata MAHB dalam entri Facebook miliknya.

MAHB dalam kenyataannya semalam turut menafikan dakwaan terdapat sarang lebah di KLIA2 sebaliknya itu hanya sekumpulan lebah yang hinggap di Bay Q4.

Menurut MAHB, adalah menjadi kebiasaan ruang tertentu di lapangan terbang dihurung kumpulan lebah dan haiwan itu akan beredar sekiranya hujan atau ribut.

Mungkin disebabkan seringkali ‘dilawati’ oleh serangga dan haiwan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes semalam melontarkan persoalan sama ada KLIA2 sebenarnya merupakan sebuah zoo.

Persoalan itu dilontar oleh Tony selepas sekumpulan lebah dikesan berkumpul di KLIA semalam dan menurut Tony, sebelum ini ulat dan tikut turut dilihat di KLIA2.

“Mungkin zoo atau KLIA 2 Honey. Ini boleh menjadi pendapatan baru yang dapat mengurangkan cukai lapangan terbang.

“Ini bukan bahan lawak. Ini berbahaya kepada penumpang dan kakitangan saya. Adakah CEO baru yang ‘tidak berkomunikasi’ boleh menyelesaikannya?” tanya Tony dalam Twitternya semalam.-UTUSAN ONLINE