Program julung kali anjuran bersama KTMB bertema Retro Dinner dan Dance Trip itu antara lain bertujuan me­raikan kakitangan syarikat berkenaan dengan menaiki tren khas ke destinasi peranginan ter­kenal itu.

Lebih memberi makna kepada setiap peserta, program selama empat hari sehingga Ahad ini yang mengambil masa kira-kira 12 jam perjalanan bermula dari stesen KL Sentral itu turut di-sertai Pengarah Urusan Konica Minolta, Mr. Osafumi Kawamura.

Majlis pelepasan peserta di-sempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin.

Mohd. Rani berkata, tren tersebut disewa khas oleh Konica Minolta untuk melaksanakan aktiviti sosial mereka ke kawasan pelancongan terkenal di negara gajah putih itu.

“Syarikat tersebut kebiasaannya menggunakan perkhidmatan darat dan udara di dalam penganjuran program mereka.

“Berbeza pada kali ini KTM Holidays yang menyediakan koc-koc khas seperti koc eksklusif, koc acara dan koc santai menjadi pilihan.

“Kami berharap peserta dapat menimba pengalaman dan mengutip kenangan sepanjang perjalanan dari KL Sentral ke Hatyai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Rani, larian tren khas itu merupakan elemen utama di dalam program Rail Tourism yang giat dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Unit Pembangunan Pakej Tourism Malaysia dan KTMB.

“KTM Holidays sentiasa menyokong inisiatif penggalakkan industri pelancongan negara melalui konsep pelancongan yang unik.

“Penggunaan perkhidmatan pelancongan kereta api atau Rail Tourism ini diadakan menerusi program yang disesuaikan serta dijalankan di dalam gerabak kereta api,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan tren khas itu, beliau berkata, pihaknya cuba memenuhi kehendak penyewa yang mahukan tema tertentu mengikut kesesuaian aktiviti yang dilakukan di dalam koc seperti majlis hari jadi, seminar, riadah dan mencari harta karun.

KTMB akan menggunakan koc-koc di dalam tren khas ini dan mengubah suai mengikut keselesaan penumpang bagi mengembalikan nostalgia kepada pelanggan.

“Kami yakin pakej-pakej unik pelancongan yang berkonsepkan kereta api semakin menjadi pilihan pelanggan khususnya daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta,” katanya.