Pengarah Bahagian Pe­nguatkuasaan Jabatan Per­khidmatan Bandar PPj, Mohd. Ali Jusoh berkata, walaupun operasi dijalankan secara berterusan masih ada peniaga yang menjalankan perniagaan di Dataran Putra.

Katanya, permainan alat beroda mi­salnya boleh menyebabkan kemalangan kerana melibatkan kawasan yang sesak dengan pengunjung.

“Pernah berlaku kes yang mendatangkan kece­deraan kepada pengunjung. Untuk menangani kes ini, PPj te­lah menempatkan anggota statik di Dataran Putra dari pada pukul 6 petang hingga 11.30 malam.

“Papan tanda larangan menjalankan aktiviti perniagaan juga diletakkan sebagai makluman dan amaran kepada peniaga haram di kawasan ber­kenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Ali, sepanjang tahun lalu, pihaknya mengenakan kompaun kepada 22 peniaga selain menyita 18 barangan dan merampas tujuh barangan seperti skuter elektrik, basikal elektrik, basikal, kiddy car, kasut roda dan barangan berlampu.

Selain itu katanya, dalam menjalankan penguatkuasaan, anggota berdepan dengan provokasi serta tindakan agresif peniaga dan setakat ini tiga laporan polis telah dibuat berhubung tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam pada itu katanya, PPj telah mengenal pasti kawasan promenade berhampiran kaunter Cruise Tasik untuk dijadikan kawasan aktiviti permainan.

“Dataran Putra pula akan dikhaskan sebagai tempat untuk orang ramai berkunjung sambil menikmati pemandangan tanpa rasa terancam,” katanya.