Penutupan tersebut diarahkan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) selepas pihaknya mendapat aduan daripada penduduk pada awal bulan lalu.

Dalam satu kenyataan, MDHS memaklumkan, pihaknya mendapati perkara itu berpunca daripada premis yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Melalui pemeriksaan itu, pihak kami mendapati ia berlaku daripada hasil pelepasan kolam takungan premis tersebut yang tidak diselenggara sehingga menyebabkan air sisa melimpah keluar daripada takungan kolam.

“Air sisa tersebut dipercayai dilepaskan melalui kawasan Kampung Gumut dan seterusnya ke Sungai Gumut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, premis berkenaan turut diberi tempoh 14 hari untuk memastikan tiada pelepasan air sisa atau kumbahan sama ada pepejal atau cecair dilepaskan ke mana-mana anak sungai.

“Lesen premis juga digantung dalam tempoh berkenaan untuk memastikan pihak premis patuh kepada syarat yang dikenakan oleh pihak MDHS,” katanya.

Perintah penutupan premis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 43(1)(b), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007.

Jelasnya lagi, operasi tersebut melibatkan 50 anggota penguat kuasa yang diketuai oleh Setiausaha MDHS, Awaluddin Zakaria serta Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Syarikat Air Selangor (SAS), Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor, Polis Daerah Hulu Selangor dan Jabatan Pelesenan MDHS.

Ujarnya, MDHS akan terus meningkatkan operasi seumpamanya bagi memastikan pengusaha ternakan ayam yang lain menjaga kebersihan premis masing-masing dan pihaknya mengambil serius dalam hal ini agar Hulu Selangor bebas dari sebarang pencemaran. - UTUSAN ONLINE