Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd. Naim Daruwish berkata, penambahbaikan tersebut akan menggantikan syarat semasa pengeluaran pendidikan dari akaun 2 yang memiliki tarikh kuat kuasa perjanjian tertentu antaranya 1 April 2000, 2 Januari 2001 dan 17 Januari 2006.

“Penambahbaikan ke atas polisi ini dilakukan setelah mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran untuk mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka.

“Pihak KWSP sentiasa sedia memberikan pengalaman positif kepada ahli dan berusaha melakukan penambahbaikan di samping memenuhi mandat kami. Suka cita kami maklumkan bahawa penambahbaikan ini boleh memberi manfaat kepada hampir 70,000 ahli yang masih belum menyelesaikan baki pinjaman pendidikan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE