Itulah antara rintihan kira-kira 25 penghuni Kuarters Penjawat Awam Markas Staf Stesyen di sini yang hidup dalam keadaan tidak selesa akibat kerosakan kediaman mereka sejak lebih 10 tahun lalu.

Rumah yang sudah berusia hampir 60 tahun dan didiami kakitangan di unit-unit di bawah Kementerian Pertahanan itu semakin usang kerana didakwa sudah lama tidak diselenggara.

Seorang penghuni yang tidak mahu dikenali berkata, sejak 10 tahun lalu masalah seperti anai-anai, atap bocor, tangki dan paip rosak terpaksa dihadapi sendiri walaupun aduan telah dibuat mengikut saluran dan prosedur yang ditetapkan.

“Rumah ini ada tiga bilik tidur dan dua bilik air. Tapi kini yang hanya dapat digunakan hanya satu bilik di bahagian bawah kerana yang lainnya tidak lagi selamat untuk didiami.

“Setiap malam saya tak dapat tidur lena kerana bimbang rumah ini roboh. Kayu-kayu di bahagian bumbung sudah terlalu uzur dan boleh menghempap kami bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, mereka telah banyak kali mengemukakan masalah tersebut dan diarahkan membuat aduan kepada Markas Steysen Staf bahagian kerosakan perumahan untuk dimajukan kepada Jabatan Kerja Raya.

“Kami juga diminta menghantar laporan dan gambar sebagai bukti kerosakan namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan selain kunjungan daripada pegawai yang datang sekadar ‘melihat’ saja.

“Apabila kami bertanya tentang laporan dan aduan yang dikemukakan, jawapan yang sama diberikan saban tahun iaitu tiada peruntukan atau peruntukan tidak mencukupi. Kami sudah jemu dengan alasan ini,” dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang mahu identitinya dirahsiakan berkata, mereka berasa tersisih kerana tidak diambil perhatian dan aspek kebajikan sebagai salah seorang kakitangan awam diabaikan.

“Kami juga kakitangan yang berkhidmat untuk negara. Kalau kuarters pegawai boleh diberi perhatian dan peruntukan serta keutamaan, mengapa kami dibiarkan begini?

“Kami tak minta banyak, hanya tolonglah dengar rintihan dan kesusahan kami. Atap bocor ini bukan hal yang remeh. Air hujan yang mengalir masuk ke dalam rumah saya di bahagian dapur akan terkena wayar elektrik dan boleh membahayakan nyawa kami sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan tiada maklum balas daripada pihak berkenaan, penghuni terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membaiki kerosakan di kediaman mereka.

“Apa yang mampu dibaiki, kami buat sendiri demi keselamatan. Apabila hujan rumah akan dimasuki air malah pernah juga atap rumah diterbangkan angin,” ujarnya.

Katanya, beliau dan penghuni lain berharap masalah itu mendapat perhatian dan tindakan selanjutnya dari pihak yang berkenaan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.