Mohd. Zin Omar, 61, atau lebih dikenali Abah Zino dan isterinya, Nor Aisah Jamil, 59, serta dua lagi rakannya memilih negara berkenaan untuk bercuti kerana ia antara kepulauan tercantik terletak di Lautan Atlantik Utara.

Keterujaan melancong oleh bekas Pengarah Jabatan Perlaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan isteri diabadikan dalam sebuah buku travelog bertajuk Abah dan Mak Poi Iceland dan United Kingdom yang menceritakan pengalaman perjalanan mereka dari 24 November sehingga 8 Disember tahun lalu.

Abah Zino yang baru bersara ketika itu memilih Iceland kerana mahu melihat keindahan negara yang jauh di ufuk utara bumi dan kebanyakan pelancong beranggapan hanya penguin dan beruang kutub yang menghuni pulau ‘ais’ tersebut.

“Pada mulanya, saya dan isteri sekadar mahu bercuti untuk berehat seketika, tidak sangka saya melihat status Facebook pasangan yang dikenali sebagai Harzaien atau Ain ketika itu sedang mencari rakan untuk melancong bersama ke negara yang mencecah sehingga suhu terendah -2 darjah Celsius dan di­sertai angin sejuk itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Abah Zino berkata, kos per­belanjaan sebanyak RM8,000 seorang itu dianggap amat berbaloi .

“Kami menggunakan perbelanjaan minimum untuk melancong kerana menganggap perlu berpindah dari satu rumah ke satu rumah setiap hari dan kami memandu kira-kira dua jam untuk ke lokasi seterusnya ketika di sana.

“Selepas memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Changi, Singapura yang mengambil masa 15 jam penerbangan ke Gatwich, United Kingdom (UK) seterusnya singgah ke beberapa lokasi menarik di UK,” katanya.

Tambah Abah Zino, ketika singgah selama tujuh hari di UK, rombongan mereka sempat singgah ke beberapa tempat menarik seperti Castle Combe, London Bridge, Eye of London, Clock Tower serta Buckingham Palace.

“Saya mengambil peluang menjelajah ke beberapa lokasi menarik sebelum meneruskan perjalanan ke Iceland yang mengambil masa kira-kira tiga jam dari UK.

“Memandangkan kami tidak datang pada musim salji, jadi kami hanya berpeluang berjalan di atas ais sejauh 3.8 kilometer bagi melihat tempat yang sering diperkatakan oleh pelancong iaitu lokasi bangkai pesawat Wrecked D-3 Plane yang merupakan lokasi penggambaran klip video dalam filem Dilwale yang dibintangi pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan dan Kajol.

“Terdapat banyak lokasi air terjun yang menarik seperti Pingvellir National Park, Geyser, Hveageroi, Reynisfljara Beach dan Skaftafell- Svartifoss Waterfall serta berpeluang melihat cahaya Aurora iaitu fenomena alam yang terjadi di ruang atmosfera bumi di Iceland,” katanya.

Buku terbitan CK Publication yang berhalaman 228 muka surat itu boleh didapati menerusi laman Facebook, Abah Zino dengan harga RM25 bagi Semenanjung manakala RM28 bagi Sabah Sarawak.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 013 3479089.

Abah Zino menambah, tujuannya menulis buku berkenaan adalah untuk menceritakan pengalaman serta memberi panduan lebih terperinci kepada pelancong yang mahu mengembara ke Iceland.