Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Hashim Wahir berkata, ia bagi membolehkan lebih banyak pendapatan sewa mampu dijana menerusi pembaharuan itu.

“Pada kebiasaannya ruang yang luas disewakan pada kadar rendah. Sebagai pengurusan pusat membeli belah Suria KLCC Sdn. Bhd. akan menerima sewa yang lebih tinggi daripada lot yang lebih kecil ini,” katanya selepas sesi bersama pelabur di Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

Hashim berkata, penyewa baharu dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun ini dan Suria KLCC ketika ini sedang berbincang dengan mereka.

“Kami berminat dengan idea untuk mewujudkan kawasan beli-belah jalanan menerusi pembangunan baharu ini. Lot runcit yang lebih kecil itu memberi kami peluang untuk menawarkan produk dan jenama baharu daripada syarikat permulaan,”katanya.

Beliau berkata, perubahan itu juga membolehkan ruang makan di Suria KLCC diluaskan berikutan jumlah pengunjung yang semakin meningkat ke pusat beli-belah itu.

“Lot makanan dan minuman akan dikekalkan iaitu kira-kira 20 peratus daripada 400 lot yang disewakan dengan pelaburan RM10 juta untuk menambah baik pusat beli-belah itu pada 2019,” katanya.

Mengenai semakan kadar sewa, Hashim berkata, KLCCP mengunjurkan kekal pada kadar satu hingga dua peratus pada tahun ini sama seperti pertumbuhan 2018 dengan tiga penyewa memperbaharui kontrak tahun ini. - BERNAMA