Buku setebal 160 muka surat bertajuk 'Daphne Boudville: The Icon' itu adalah koleksi pelbagai keratan akhbar sejak 1960 disimpan Daphne, serta gambar-gambar dan berita pemergiannya yang meninggal dunia pada 28 Jan lepas.

Ketika atlet masa kini bergelut untuk terus fokus terhadap satu jenis sukan, Daphne pernah mewakili Malaysia dalam acara hoki selama tiga dekad, olahraga dan anggota skuad bola sepak wanita negara pada 1965.

Selain memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) 1965 (kini dikenali sebagai Sukan SEA), mendiang juga adalah sebahagian daripada anggota skuad hoki wanita Malaysia meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1982.

Pingat gangsa itu adalah satu-satunya pingat dimenangi pasukan hoki wanita negara, yang turut dikenali sebagai Malaysian Tigress, pada temasya Sukan Asia.

Daphne meninggal dunia pada awal tahun ini akibat kanser di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada usia 76 tahun.

Buku itu dilancarkan di Wisma OCM melalui inisiatif bekas ketua pasukan hoki wanita negara, K. Maheswari dengan bantuan bekas wartawan sukan, Satwant Singh, serta dihadiri rakan sepasukan Daphen dan penggiat ketiga-tiga sukan diceburi mendiang.

"Ketika saya melawat beliau di hospital (pada Disember 2018), beliau mempunyai buku nota, koleksi maklumat dan keratan akhbar selama 27 tahun di atas katilnya.

“Jadi, saya tanya apa dia akan lakukan dengan buku itu, mendiang menyatakan apabila dia meninggal dunia, dia mahu disemadikan dengan pakaian tertentu bersama-sama dengan barangan itu.

"Saya beritahu ia menjadi sia-sia kerana tiada siapa akan tahu Daphne, maka saya cadangkan kepadanya agar koleksi-koleksi itu diterbitkan seperti 'coffee book', dia berkata "ambil dan lakukan apa anda inginkan". Saya kemudian membawa balik, dan terdapat lebih 400 halaman mengandungi ribuan artikelnya.

"Apa yang kami lakukan ialah menyusunnya semula dengan betul dan teratur dari 1960 hingga 1987. Saya berjanji kepada beliau kami akan melancarkan buku ini dengan kehadirannya, tetapi malangnya beliau meninggal dunia sebelum kami selesai menyusun artikel-artikel tersebut," kata Maheswari.

Maheswari berkata dengan bajet terhad yang dikumpul melalui sumbangan rakan sepasukan dan sahabat mendiang, hanya 150 salinan buku dicetak untuk diberikan kepada teman Daphne dan disimpan di beberapa perpustakaan.- BERNAMA