Mereka mendakwa, hospital yang sepatutnya menawarkan keperluan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kini kelihatan seolah-olah tapak pasar malam apabila dipenuhi kiok jualan.

Tinjauan Utusan Malaysia di hospital berkenaan hari ini mendapati aduan tersebut berasas apabila laluan yang menempatkan lebih 20 kiosk itu sedikit sesak apabila pengunjung singgah untuk membeli-belah.

Keadaan itu menyebabkan laluan menjadi sempit dan menghalang urusan pelawat dan pesakit.

Berdasarkan pemerhatian, kiosk yang beroperasi berhampiran pintu masuk ke bahagian klinik pakar itu menjual pelbagai barangan seperti makanan, pakai­an serta alat permainan kanak-kanak.

Rata-rata yang ditemui memberitahu, inisiatif pihak pengurusan hospital menyediakan kiosk tersebut amat baik bagi kemudahan orang awam, namun lokasinya perlu sesuai dan tidak menghalang laluan orang ramai.

Utusan Malaysia turut difahamkan, operasi kiosk itu juga didakwa menjadi punca masalah kekurangan tempat letak kereta kritikal di hospital berkenaan. Sehubungan itu orang ramai meminta pengurusan hospital mempertimbangkan semula untuk membenarkan peniaga meneruskan perniagaan mereka di situ.

Sementara itu, pihak pengurusan Hospital Sungai Buloh menafikan dakwaan kiosk yang dibuka di hospital berkenaan menganggu laluan utama dan menyebabkan kekurangan tempat letak kenderaan.

Pengarahnya, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, lokasi kiosk itu terletak di ruangan kosong yang tidak digunakan oleh pesakit untuk ke klinik pakar.

Menurut beliau, peniaga akan menurunkan barang di lokasi lain pada waktu yang ditetapkan sebelum membawanya ke kiosk tanpa menggunakan laluan pesakit.

“Tiada isu peniaga kiosk menyebabkan kekurangan parkir memandangkan mereka menurunkan barang untuk berniaga. Lagipun, ia hanya dibuka semasa pekerja mendapat gaji dan waktu beroperasi pada hari bekerja,” katanya.

“Selain itu, hasil sewa kiosk digunakan untuk program kebajikan kakitangan hospital, sumbangan dan pemberian wakaf kepada pihak yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Dr. Khalid, bagaima-napun, pihaknya mengambil berat cadangan dan maklum balas tersebut serta bersedia mempertimbangkannya demi keselesaan pengunjung.