Walaupun arahan pematuhan garis panduan selama 14 hari itu dikeluarkan oleh Dewan Ban­daraya Kuala Lumpur (DBKL)semasa lawatan bersama Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, pengusaha kilang masih lagi meneruskan operasi seperti biasa.

Seperti mencurah air ke daun keladi, operasi rutin kilang berkenaan dengan lori-lori pengangkut simen yang bertali arus se­perti membuktikan mereka ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.

Kewujudan kilang yang beroperasi sejak berdekad lalu itu me­nimbulkan pelbagai masalah yang tidak berkesudahan dan sehingga hari ini masih gagal ditangani oleh pihak berwajib.

Bahkan liputan mengenai perkara ini sudah berulang-kali disiarkan di media massa.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati sebahagian besar daripada kilang dan lori-lori pengangkut masih menguasai laluan utama di kawasan industri lama itu.

Di Jalan Lima - Off Jalan Chan Sow Lin, deretan lori masih memenuhi kiri dan kanan bahu jalan.

Tindakan pemandu yang meletakkan lori di bahu jalan bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas bahkan membahayakan pemandu terutama pada waktu malam.

Dianggarkan terdapat se­ku­rang-kurangnya 10 kilang simen di kawasan itu yang berkemungkinan menjadi pembekal bahan binaan kepada pemaju di sekitar Kuala Lumpur.

Kebanjiran lori-lori simen yang bermaharajalela di Jalan Chan Sow Lin itu membuktikan bahawa aktiviti membancuh simen di kilang tersebut dijalankan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Kelibat ‘lori siput’ itu juga boleh dilihat pada setiap minit melintasi laluan utama yang menempatkan pelbagai premis perniagaan dan menjadi lokasi penting untuk orang ramai menjalankan urusan.

Dalam lawatan Khalid bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz pada 1 September lalu, pihaknya mensyaratkan premis terbabit membersihkan tapak operasi mengikut garis panduan DBKL.

“Pemantauan kami mendapati kebanyakan pengusaha kilang simen di kawasan ini tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan iaitu melakukan aktiviti pembancuhan simen secara tidak terkawal sehingga menyebabkan kawasan awam tercemar,” kata Khalid.

Beliau berkata, amaran diberikan kepada semua pengusaha kilang simen dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi yang ingkar.