Malanjum, 65, merupakan lulusan Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam dalam bidang undang-undang, satu jurusan yang dianjurkan secara bersama dengan University of London pada tahun 1975.

Dilahirkan pada 13 Oktober, 1952 di Tuaran, Sabah, Malanjum memulakan persekolahannya di Sekolah Bukit Buit Putatan dan Sekolah Rendah Sacred Heart, Kota Kinabalu sebelum menamatkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah La Salle, Kota Kinabalu.

Terus terjun ke dunia pekerjaan, anak keturunan Kadazandusun ini memulakan kerjayanya sebagai kerani di Jabatan Pelajaran, Jabatan Pertanian, Jabatan Televisyen dan Radio dan sebagai pegawai kebajikan di Jabatan Kebajikan Negeri.

Pada 1972, beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara, dan setelah memperoleh ijazah, Malanjum berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan ditugaskan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di London dan berjaya menghabiskan pengajian "Bar-at-Law" pada tahun yang sama. Beliau telah diterima masuk ke "The English Bar of the Honourable Society of Gray's Inn" di London.

Sekembalinya dari London, beliau berkhidmat semula di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Pegawai Undang-Undang/Timbalan Pendakwa Raya.

Pada tahun 1977, beliau diterima masuk sebagai Peguamcara Badan Peguam Malaysia, Sabah dan juga diterima masuk ke "The Australian Capitol Territory" (ACT) Bar pada 1991.

Pada 1981, Malanjum meletak jawatan dan seterusnya menyertai kerjaya guaman persendirian di Kota Kinabalu hingga 1992, apabila beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada Mac tahun yang sama.

Kemudian pada 1993, beliau diangkat menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Kuching Sarawak. Beliau juga ditugaskan di Mahkamah Tinggi Miri dan Sandakan pada 1994 dan 1996 dan ditukar semula ke Mahkamah Tinggi Kuching pada Mei 2002.

Pada Ogos 2002, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudian pada Jun 2005, dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Malanjum merupakan anak negeri Sabah yang pertama menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan juga Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pada usia 52, beliau menjadi hakim Mahkamah Tinggi termuda memegang jawatan itu.

Pada 26 Julai 2006 beliau secara rasmi dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak hingga kini.

Beliau mempunyai tiga orang anak - Jessica Eleanor, Edgar Richard dan Carl Barnabas. - BERNAMA