Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, Jepun memiliki banyak pengalaman dalam pengurusan bencana justeru, Pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh mendapat manfaat daripadanya.

Katanya, kerjasama itu termasuk dari aspek latihan dan perkongsian kaedah dalam beberapa aspek antaranya berhubung teknologi-teknologi amaran awal bagi meramal serta mempersiapkan diri daripada bencana.

“Selain itu, kerjasama itu adalah berhubung perancangan dalam pengurusan menghadapi bencana besar. Saya difahamkan Jepun telah pun memiki respons yang komprehensif jika berlaku gempa bumi berskala besar.

“Kerjasama itu juga melibatkan kepakaran untuk mengurangkan risiko dalam membantu proses mitigasi bencana pada peringkat awal.

“Ia turut melibatkan cara bagaimana untuk mengadakan eksesais berskala besar bagi membantu dalam membangunkan kesiapsiagaan respons bencana kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, kerjasama Malaysia-Jepun itu turut merangkumi pelbagai isu melibatkan penuaan penduduk (aging population) memandangkan Malaysia juga akan memiliki isu berkenaan menjelang 2030.

Jepun katanya, mempunyai lebih banyak pengalaman dalam isu tersebut yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.

“Kita ingin mengetahui lebih baik tentang polisi-polisi perlindungan sosial rakyatnya. Ini adah isu yang Malaysia perlu tangani selepas ini.

“Kita juga berbincang tentang kemungkinan untuk mengadakan latihan dua hala serta pertukaran bidang pembangunan kepimpinan wanita,” katanya. - UTUSAN ONLINE