Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) turut berharap agar nasib kakitangan syarikat penerbitan akhbar Melayu tertua negara ini juga perlu dibela.

Selain itu, katanya, Utusan Melayu perlu menunjukkan situasi kewangan syarikat berkenaan sebagai pengetahuan pembaca dan orang awam.

“Kumpulan Utusan juga perlu membayar gaji tertunggak dan pampasan skim pemisahan sukarela (VSS) mereka,” katanya memetik laporan portal Malaysiakini hari ini.

Tambah Dong Zong, pertubuhan itu memandang media berperanan penting sebagai pengawas kerajaan dan kebebasannya perlu dihargai.

Dong Zong turut kesal apabila Utusan Melayu menjadi ‘banduan’ sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kesukaran selepas kerajaan bertukar.

“Oleh kerana faktor sejarah, maka Utusan Melayu menjadi ‘banduan’ parti politik dan mengalami kesulitan dalam transisi demokrasi Malaysia.

“Dengan bayaran gaji dan pampasan VSS tertunggak lama, pihak pengurusan tidak mematuhi perjanjian di antara majikan dan pekerja, malah keadaan memaksa petugas syarikat itu kehilangan punca rezeki,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dong Zong turut mencadangkan agar industri media menjalani proses pembaharuan dengan melibatkan empat perkara asas.

Katanya, mana-mana parti politik tidak boleh melabur atau menjalankan operasi media dan akta serta polisi yang mengekang media perlu dimansuhkan.

“Di samping itu, undang-undang perlu digubal untuk memecahkan monopoli media dan budaya majmuk perlu dipelihara demi masa depan industri media.

“ Kerajaan dan masyarakat juga diseru agar memandang serius hak pekerja media dan memikir penambah baikan sektor tersebut. Kita juga mahu semua parti politik dan ahli politik berdisiplin serta tidak berangan-angan untuk campur tangan dalam hal pengurusan media,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE