Sebaliknya, kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha membantu menyelesaikan masalah dihadapi penyewa PPR menerusi pelbagai mekanisme termasuk membenarkan pembayaran sewa dibuat secara berperingkat, katanya.

"Baru-baru ini ada yang mengatakan mereka ini akan diusir. Ada juga penduduk dan penyewa berjumpa saya dan mahu bayar sewa tertunggak mereka secara ansuran tetapi mendakwa DBKL tidak terima sebaliknya mahukan bayaran penuh.

"Saya tegaskan tiada usaha usir mereka. Walaupun ada yang sewa tertunggak sehingga RM8,000, tetapi DBKL benarkan untuk bayar secara berperingkat sama ada 10 peratus permulaan dan selepas itu dibayar dengan kadar dua atau tiga bulan sehingga selesai atau mengikut perjanjian serta persetujuan," katanya.

Khalid bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan jalan sambungan dari Jalan 1/27A ke Setiawangsa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata arahan mengosongkan unit PPR berkenaan hanya akan dibuat DBKL terhadap mereka yang sudah tidak layak menduduki PPR berkenaan.

Bagi penyewa yang 'mewariskan' rumah itu kepada anak mereka atau orang asing, konsep sewa atas sewa dan penyewa yang sudah mampu daripada segi sara hidup memang mereka perlu keluar untuk penyewa lain yang layak masuk, tambahnya.

DBKL mengalami kerugian sebanyak RM18,137,507 berikutan tunggakan sewa terkumpul daripada penyewa unit PPR dan Perumahan Awam (PA) setakat 31 Okt lepas iaitu melibatkan 26,860 penyewa PPR dan PA yang gagal menjelaskan sewa bulanan sebanyak RM124 sebulan.

Terdahulu mengenai pembukaan jalan sambungan ke Setiawangsa yang boleh mula digunakan warga kota hari ini, Khalid berkata Jalan 1/27A sepanjang 500 meter itu bagi menampung peningkatan trafik akibat pembangunan pesat di kawasan berkenaan.

Laluan yang menghubungkan antara persimpangan Jalan 1/27A dengan Jalan Setiawangsa/Jalan Mohd. Yatim Yahaya itu merupakan laluan alternatif utama bagi pengguna di sekitar perumahan Wangsa Maju dan Setiawangsa ke Sri Rampai tanpa perlu menempuh kesesakan pusat bandar raya. - BERNAMA