Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, bagi peruntukan geran aktiviti, setiap zon dalam ketiga-tiga wilayah akan menerima RM50,000 dan RM20,000 untuk sub zon manakala bagi geran pengurusan, setiap zon diperuntukkan RM20,000 dan sub zon menerima RM10,000 setahun.

“Buat pertama kali, pengerusi zon yang dilantik akan dibayar elaun tetap sebanyak RM2,500 sebulan bagi zon yang ada empat sub zon ke bawah.

“Bagi zon yang ada lima atau enam sub zon bayarannya sebanyak RM3,000 manakala bagi tujuh sub zon ke atas, pengerusi zon akan menerima elaun RM3,500 sebulan.

“Diharapkan melalui pemberian insentif semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan dedikasi demi warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis MPPWP bagi tahun 2019/2020 di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, kementeriannya turut memperkenalkan inisiatif ‘Van Wilayah’ yang akan dilancarkan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Katanya, van berkenaan akan diperuntukkan kepada semua 13 parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk meringankan beban masyarakat setempat dan memudahkan urusan pengangkutan khususnya kepada golongan B40.

Pada majlis itu, seramai 1,165 orang ahli baharu peringkat zon dan sub zon kawasan Parlimen Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima watikah pelantikan bagi MPPWP tahun 2019/2020 daripada Khalid.

Pelantikan melibatkan 13 zon dan 77 sub zon iaitu 70 sub zon di Parlimen Kuala Lumpur, empat sub zon di Parlimen Putrajaya dan tiga sub zon di Parlimen Labuan.

Khalid berkata, MPPWP kali ini dianggotai oleh masyarakat setempat yang mempunyai struktur pentadbiran lebih sistematik dan terancang untuk memimpin komuniti.

“MPPWP berfungsi sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dalam merancang serta melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan,” katanya.

habis.