Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usaha tersebut memerlukan satu rancangan bersepadu yang drastik dan menyeluruh dan komitmen kerajaan pada hari ini adalah untuk mencapai prinsip mahu Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya kerana rasuah.

“Antara perkara yang telah dilaksanakan setakat ini, termasuklah mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) serta menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi membolehkan usaha menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan serta menyeluruh.

“Kerajaan juga telah menggubal Pelan Antirasuah Nasional bagi membolehkan isu-isu governans, integriti dan antirasuah ditangani secara menyeluruh selain satu undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai-pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran kepada dana kerajaan akan digubal bagi tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas 100 Hari Bersama Perdana Menteri seperti disiarkan dalam saluran TV1 malam ini.

Tambah Perdana Menteri lagi, bagi membanteras politik wang, Rang Undang-undang Pembiayaan Politik sedang digubal dan sebuah pasukan khas yang diketuai oleh GIACC telah dibentuk untuk mengemukakan draf akta pembiayaan politik kepada Kabinet.

“Satu dasar mengenai pemberian hadiah dan derma kepada anggota pentadbiran awam (melibatkan menteri sehingga setiausaha-setiausaha politik) sedang digubal. Pada masa sekarang, dasar ini hanya memfokuskan kepada penjawat awam.

“Kerajaan telah memutuskan agar anggota pentadbiran (menteri dan timbalan menteri) tidak lagi mengeluarkan surat sokongan ke atas mana-mana projek atau urusan permohonan. Ketua jabatan juga diminta tidak lagi menganggap surat sokongan sebagai arahan atau keputusan anggota pentadbiran,” katanya.

Berhubung perisytiharan harta, jelas Dr. Mahathir, garis panduan sedang dipinda di mana tafsiran anggota pentadbiran diperluas supaya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga perlu isytihar harta.

“Dalam hal ini, pindaan akan dibuat ke atas Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan. Mulai sekarang perisytiharan harta akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya ada keterbukaan dan ketelusan dalam amalan ini.

“Kerajaan telah memutuskan untuk melakukan penambahbaikan mekanisme penerimaan hadiah, keraian dan upahan oleh anggota pentadbiran. Tafsiran anggota pentadbiran diperluas sehingga termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, mereka juga perlu melaporkan penerimaan hadiah, keraian dan upahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE