Pengasas KLSketchnation, Ahmad Hakym Ahmad Hilmy berkata, acara yang akan diadakan di beberapa kawasan masjid itu merupakan simbolik rasa kasih dan cinta terhadap rumah ibadat yang menjadi simbol keamanan sejagat untuk seluruh umat manusia.

“Program ini juga adalah solidariti kami untuk mengenang mangsa tragedi berdarah di Christchurh, New Zealand yang mengorbankan seorang warganegara Malaysia dan Indonesia.

“Selain itu, lakaran ini membuktikan bahawa masjid merupakan tempat yang selamat untuk masyarakat setempat mendapat perlindungan di samping menyambut baik orang bukan Islam ke rumah ibadat tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ahmad Hakym, peserta yang berminat menyertai program itu boleh berbuat demikian dengan mencari lokasi masjid berdekatan kediaman masing-masing seterusnya memulakan acara dengan melakar imej tersebut.

“Mereka hanya perlu mengetengahkan hasil lukisan itu secara dalam talian bersama hashtag #NZsolidaritysketch, #sketchingmosque, #sketchnationsalambrother dan #kiakahachristchurch,” katanya.

Sementara itu katanya, dianggarkan 20 orang ahli KLSketchnation akan mengadakan acara sama di Masjid Bukit Aman, di sini pada pukul 10 pagi. - UTUSAN ONLINE