Kemenangan menyaksikan pemuda dari Rawang itu menewaskan lebih 600 peserta dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 berserta produk-produk tajaan Igloo-UFL dan Oyoshi.

Dalam pertandingan siri kedua anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu, lebih 150 ekor ikan berjaya didarat oleh kaki pancing.

Wan Asrul Fadzley berkata, dia tidak menduga rezeki sebagai juara kerana menganggap penyertaannya dalam acara itu sekadar mengisi masa lapang semata-mata.

“Ia bagaikan mimpi dan kejayaan ini adalah berkat sokongan keluarga saya yang selalu mendoakan selain tidak pernah menghalang minat saya untuk mengikuti mana-mana pertandingan memancing.

“Saya harap DBKL akan terus menganjurkan pertandingan ini kerana ia memberi peluang kepada peserta untuk berkumpul dan beriadah bersama keluarga,” katanya yang menyifatkan kemenangan itu pertama kali selama empat tahun menceburi hobi memancing.

Patin seberat 5.86 kg yang dipancing Muhammad Riezuan Ramli, 29, pula menobatkannya menang tempat kedua dan membawa pulang hadiah RM2,000 manakala tempat ketiga (RM1,000) disandang Mohd. Zailani Sadri, 50, dengan spesis yang sama seberat 4.88 kg.

Hadiah pertandingan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun.

Mohd. Nazam berkata, beliau berbangga dengan penyertaan dari seluruh negara selain kehadiran ahli keluarga yang bersama memeriahkan acara.

“JPKL dilihat berjaya mencapai matlamat dan produk JPKL begitu sinonim sebagai aktiviti riadah yang sihat bagi seluruh warga kota,” katanya. - UTUSAN ONLINE