Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa berkata, antara kesalahan itu adalah penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan menggunakan lorong kecemasan.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang menaik taraf sistem berkenaan dan pelaksanaannya akan berkuatkuasa dalam masa terdekat.

“Penambahbaikan Awas ini diharap dapat mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang kian meningkat saban tahun.

“Pada tahun 2016, jumlah kemalangan yang direkodkan adalah sebanyak 521,466 kes dan angka itu meningkat kepada 533,875 kes bagi tahun 2017 dan kerajaan amat memandang serius perkara ini,” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya bersama agensi penguat kuasa sempena Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas Sungai Buloh Arah Utara, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zamakhshari Hanipah dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu.

Dalam pada itu, Rosli berkata, hasil daripada kempen berterusan yang dijalankan terutama menjelang musim perayaan, jumlah kematian disebabkan kemalangan jalan raya menunjukkan sedikit penurunan bagi tahun 2017.

“Untuk tahun 2016, jumlah kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 7,152 kes dan ia mengalami penurunan sebanyak enam peratus kepada 6,740 kes pada tahun lepas,” katanya. - UTUSAN ONLINE